
Sepasang suami isteri yang baru sebulan mendirikan rumah tangga telah dipanggil polis setelah kantoi menghidu gam ketika memandu Proton Iswara di Melaka.
Lebih mengejutkan, lelaki yang memandu Iswara terbabit menghidu gam tanpa segan silu sambil membawa isteri serta anak perempuan tirinya yang baru berumur empat tahun di tempat duduk belakang.
*Kredit Video: Majoriti
Polis Tahan Pasangan Hisap Gam Dalam Kereta
Menurut Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, polis telah mengesan pemandu yang juga menantu kepada pemilik Proton Iswara dan dua penumpang iaitu isterinya yang berusia 23 serta kanak-kanak perempuan berusia empat tahun, lalu dibawa ke IPD Melaka Tengah untuk tindakan lanjut,” katanya.
Berdasarkan beberapa klip video yang tersebar di media sosial, lelaki tersebut dilihat leka menghidu gam ketika memandu meskipun bersama ahli keluarga.
Berdasarkan suara yang diperoleh melalu rakaman video, isteri lelaki terbabit juga dikatakan turut sama menghidu gam bersama suaminya, meskipun perbuatan itu tidak begitu jelas kelihatan di dalam video yang tersebar.
Walau bagaimanapun, isterinya menafikan ada menghisap gam, malah ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas kedua-dua mereka juga didapati negatif.
Kedua-dua mereka kemudian dibebaskan sejurus soal siasat selesai dijalankan dan satu kertas siasatan dibuka mengikut Peraturan 17 LN 166/59 Kaedah-Kaedah Lalulintas 1959.
Hukuman Tak Cukup Berat?
Pada awalnya, kerajaan telah menetapkan hukuman selama 3 hingga 10 tahun dan denda tidak lebih RM20,000 sekiranya seseorang itu memandu di bawah pengaruh dan menyebabkan kemalangan, kecederaan atau kematian.
Lesen memandu mereka juga akan digantung untuk tempoh tidak lebih 5 tahun. Jika disabitkan kesalahan yang sama buat kali kedua, lesennya akan digantung selama 10 tahun.
Walau bagaimanapun, peningkatan jumlah kemalangan dan kematian yang disebabkan oleh pemandu yang mabuk atau khayal telah membuatkan kerajaan menguatkuasakan Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 pada 23 Oktober 2020 yang mengenakan hukuman lebih berat seperti di bawah.
*Kredit video: TV3
Hukuman Memandu Di Bawah Pengaruh Alkohol/Dadah sehingga menyebabkan kematian:
Bagi Sabitan Pertama
Penjara minimum 10 tahun atau maksimum 15 tahun
Denda antara RM50,000 hingga RM100,000
Hilang kelayakan lesen bagi tempoh minimum 10 tahun
Bagi Sabitan Kedua
Penjara minimum 15 tahun atau maksimum 20 tahun
Denda antara RM100,000 hingga RM150,000
Hilang kelayakan lesen selama 20 tahun
Hukuman Memandu Di Bawah Pengaruh Alkohol/Dadah sehingga menyebabkan kecederaan:
Bagi Sabitan Pertama
Penjara minimum 7 tahun atau maksimum 10 tahun
Denda antara RM30,000 hingga RM50,000
Hilang kelayakan lesen minimum tujuh tahun
Bagi Sabitan Kedua Dan Seterusnya
Penjara minimum 10 tahun atau maksimum 15 tahun
Denda antara RM50,000 hingga RM100,000
Hilang kelayakan lesen selama 10 tahun
Setuju atau tidak, segelintir pemandu di Malaysia ini hanyalah one accident away daripada kantoi dengan pihak berkuasa kerana memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah. Pada pendapat anda, adakah hukuman baharu ini sudah cukup berat untuk mendisiplinkan para pemandu?