
Perkhidmatan Monorel Di Melaka yang pernah menjadi tarikan pelancong kini hanya mencacatkan permandangan ekoran terbengkalai tanpa beroperasi.
Perkhidmatan monorel itu masih beroperasi kali terakhir sebelum PKP pada Mac 2020, namun ia hanya bergerak pada masa-masa tertentu.
Monorel Melaka Cacatkan Permandangan?
Ketika ini, dua gerabak itu kini tersadai di Stesen Monorel di persimpangan Tun Ali di sini manakala kaunter menjual tiket ditutup. Monorel ini juga mempunyai reputasi yang menyedihkan apabila perkhidmatannya terhenti selama 22 kali sejak beroperasi pada 2011.
Lebih menyedihkan, pemandangan di laluan monorel itu cacat kerana beberapa bangunan kilang terbengkalai tidak dirobohkan. Ini sekali gus mencacatkan pemandangan di tengah-tengah bandaraya Melaka.
Persoalannya, adakah pihak berwajib akan terus membiarkan monorel yang pernah menjadi tarikan pelancongan ini usang dan terbengkalai?
Monorel itu juga pernah mencatatkan dua insiden mencemaskan apabila 20 penumpang pernah terperangkap di dalam gerabak pada 2010. Pada 2011 pula, dua pelancong terperangkap di monorel tersebut hampir satu jam sebelum mereka diselamatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Malah penduduk Melaka juga menzahirkan rasa terkilan dan sediih melihat monorel yang dahulunya popular kini dibiarkan seolah-oleh berkubur tanpa nisan. Menurut laporan Utusan pada tahun lalu, rata-rata penduduk Melaka mahu monorel itu dinaik taraf untuk dijadikan ikon pelancongan.
Kenapa Gagal?
Berikut merupakan antara sebab mengapa Monorel Melaka suatu kegagalan:
Tiket berharga RM10
Hanya 2.5km
Hanya 1 stesen berfungsi
Bergerak dalam keadaan loop atau uni-direction
30 minit satu pusingan
Dibuat untuk tarikan pelancong, bukan pengangkutan awam
Apa Yang Berlaku Dengan Monorel Melaka?
Pada September tahun lalu, media melaporkan bahawa kontrak syarikat pengendali perkhidmatan Monorel Melaka telah ditamatkan kerana melanggar terma dan syarat perjanjian yang dimeterai bersama Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN).
Pelanggaran utama yang dilakukan syarikat berkenaan ialah menambah klausa dalam perjanjian yang dimeterai iaitu membangunkan 15 lot tanah di kawasan persekitaran Stesen Monorel Melaka.
Syarikat itu juga gagal membayar yuran komitmen sebanyak RM100,000 kepada UPEN bagi melaksanakan projek itu selain tidak membayar lima peratus daripada jumlah keuntungan atau minimum RM1,000 kepada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sejak kontrak bermula.
Tak cukup dengan itu, syarikat berkenaan juga telah mengabaikan aspek keselamatan dalam mengendalikan perkhidmatan seperti:
Cermin hadapan bahagian pemandu monorel tidak jelas dan kabur
Kabel dalam monorel terdedah
Kunci pintu monorel tidak berfungsi
Tiada penyelenggaraan pintu monorel
Lif di stesen tidak berfungsi
Sekiranya perkhidmatan Monorel Melaka ini dibangunkan semula, diharapkan aspek-aspek penting melibatkan keselamatan tidak diambil ringan oleh mana-mana syarikat yang mengendalikan projek tersebut di masa akan datang.